
SRI TANJUNG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaren telah menyantuni dua individu iaitu Lim Kean Peng di Kampung Gelam dan Sharil Ali di Taman Tanjung bagi menyampaikan informasi berkenaan inisiatif Kerajaan Persekutuan Skim MySalam.
Rajasekaren berkata, Skim MySalam adalah inisiatif perlindungan kesihatan percuma yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) mendapatkan perlindungan kewangan sekiranya menghadapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital.
“Skim ini bertujuan meringankan beban kewangan rakyat yang terjejas akibat masalah kesihatan.
“Untuk tahun 2025, MySalam terus diperluaskan kepada lebih ramai penerima,” kata beliau.
Berikut adalah syarat kelayakan terkini:
Warganegara Malaysia.
Berumur antara 18 hingga 65 tahun (pemohon utama).
Golongan B40 (pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah).
Penerima Bantuan Tunai Rahmah (BTR) 2025 secara automatik layak.
Pasangan dan anak-anak penerima BTR juga layak.
Golongan M40 dengan pendapatan isi rumah RM5,001 hingga RM10,000 (tertakluk kepada kelulusan khas).
Bagi tahun 2025, jumlah bayaran yang disediakan di bawah skim MySalam adalah seperti berikut:
Bayaran sekali gus sebanyak RM8,000 bagi 45 jenis penyakit kritikal.
Bantuan hospitalisasi RM50 sehari (maksimum 14 hari setahun).
Perlindungan untuk penyakit kritikal termasuk kanser, serangan jantung, strok, dan kegagalan buah pinggang.