BeritaMenarik

Skuad Ihsan MADANI Wanita KEADILAN santuni mangsa banjir Negeri Sembilan

Noraini Nordin

Wanita Keadilan Pusat terus mempergiatkan inisiatif menghantar sumbangan barangan serta menyantuni mangsa-mangsa banjir melalui Skuad Ihsan MADANI Wanita KEADILAN ke negeri-negeri yang terkesan.

Antara barangan yang telah diagihkan untuk mangsa-mangsa banjir termasuklah kit makanan kering, beras, susu bayi, lampin pakai buang serta pelbagai lagi keperluan yang bersesuaian untuk mangsa-mangsa banjir tersebut.

Selain daripada barangan tersebut, turut disediakan untuk mangsa-mangsa banjir adalah kit wanita emas, kit kebersihan, kit ibadah serta kit kanak-kanak.

Pengumpulan barangan sumbangan tersebut telah digerakkan secara aktif oleh Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek dengan kerjasama para penyumbang daripada pelbagai pihak yang perihatin terhadap misi berkenaan.

Terbaru, Fadhlina menyasarkan pemberian sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Sembilan iaitu dari daerah Jempol, Tampin dan Port Dickson.

Skuad Ihsan Wanita Madani yang diketuai oleh Pengerusi Biro Mobilisasi Wanita KEADILAN Pusat, Aidawaty Paiman telah menyerahkan sumbangan tersebut untuk mangsa-mangsa banjir Jempol dan Tampin.

Turut serta dalam skuad tersebut ialah Ketua Wanita KEADILAN Negeri Johor, Zuraidah Zainab Mohd Zain, Ketua Cabang Tangga Batu (Melaka) Mahani Masban bersama kumpulan sukarelawan misi tersebut.

Barangan sumbangan berkenaan disampaikan kepada Ketua Wanita KEADILAN Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang juga Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan.

Turut hadir, Ketua Wanita KEADILAN Cabang Jempol, Shahida Ayub dan sukarelawan misi banjir daerah tersebut serta wakil daripada Wanita KEADILAN Tampin.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengerakkan bantuan kepada 19 mangsa banjir di Kampung Jimah Lama, Port Dickson.

Penyampaian sumbangan sambil menyantuni mangsa-mangsa banjir di kampung tersebut diwakili oleh Ketua Wanita KEADILAN Cabang Port Dickson, Rosmawaty Che Ros.

Turut bersama dalam program tersebut Pengerusi MPKK Kampung Jimah Lama, Hayusmidza Abdul Malek serta sukarelawan misi banjir daerah berkenaan.

Mengulas mengenai misi banjir itu, Rosmawaty berkata, bantuan daripada Fadhlina menceriakan mangsa-mangsa musibah kampung tersebut.

“Mereka mengucapkan terima kasih kepada YB Fadhlina di atas keprihatian memberi sumbangan barangan yang diperlukan.

“Mereka gembira kerana ada pemimpin wanita yang peka terhadap mangsa musibah banjir dan sudi menghulurkan sumbangan,” katanya.

Sebelum itu, Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN telah menjelajah ke Pantai Timur dan Utara bagi menyampaikan sumbangan serta menyantuni mangsa-mangsa ke daerah yang terkesan akibat bencana tersebut.

Sejak Skuad Ihsan Madani Wanita KEADILAN diaktifkan, lebih 4,000 mangsa-mangsa banjir telah disantuni serta menerima sumbangan daripada Ketua Wanita KEADILAN Pusat dan para penyumbang yang turut membantu melaksanakan misi tersebut.

Noraini Nordin

Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Show More

Related Articles

Back to top button