Status terkini MA63: 10 tuntutan Sarawak selesai, pendidikan dan minyak masih dibincang

KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai pelaksanaan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi fokus utama Kerajaan MADANI, dengan 10 daripada 26 tuntutan rasmi berjaya diselesaikan setakat ini.
Jawapan ini diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, yang meminta penjelasan berhubung status terkini rundingan serta isu autonomi dalam sektor pendidikan.
Daripada 26 tuntutan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak, 10 telah diselesaikan sepenuhnya.
Antara yang paling signifikan ialah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak sebagai jabatan teknikal, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membolehkan wakil negeri dilantik, serta pemindahan status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Selain itu, pindaan Ordinan Buruh Sarawak turut memberi kuasa lebih luas kepada negeri dalam aspek tenaga buruh.
Selain daripada tuntutan yang telah diselesaikan, satu tuntutan berjaya ditangani secara interim iaitu semakan semula pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Dua lagi tuntutan sudah mempunyai keputusan dasar, iaitu mengenai kuasa alam sekitar serta pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman.
Namun, masih terdapat lapan tuntutan yang dalam peringkat perbincangan, termasuk isu pendidikan, kesihatan, Borneonisasi perkhidmatan awam, pembangunan sempadan Sarawak-Kalimantan, serta cadangan menambah bilangan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.
Lima lagi tuntutan kini dirujuk ke peringkat tertinggi, melibatkan isu yang paling sensitif dan berimpak besar kepada negeri, antaranya royalti minyak, hak negeri terhadap pelantar benua, serta Akta Laut Wilayah 2012.
Isu pembayaran tunai petroleum turut menjadi salah satu perkara yang menuntut rundingan lebih mendalam.
Kerajaan MADANI menegaskan iltizam untuk mempercepatkan penyelesaian semua tuntutan MA63.
Walau bagaimanapun, proses undang-undang, tahap kesediaan negeri dari sudut operasi, sumber manusia serta kewangan, kekal sebagai faktor penentu tempoh pelaksanaan.
Segala isu yang belum selesai terus dipantau melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), dengan Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai sekretariat utama bersama Kerajaan Negeri serta pemegang taruh berkaitan.(Sarawak First)