Bidang keusahawanan mewujudkan peluang pekerjaan

SEREMBAN: Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, bidang keusahawanan merupakan pemangkin dalam menyokong perkembangan ekonomi negara, mewujudkan peluang pekerjaan baru serta meningkatkan kualiti taraf hidup masyarakat setempat.
“Negeri Sembilan sangat beruntung kerana wujud Kementerian dan Agensi Keusahawanan baik dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menyediakan bantuan dan sokongan kepada PMKS di Negeri Sembilan untuk meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS.
“Salah satu tumpuan Kerajaan Negeri Sembilan ialah untuk memperkasakan sektor PMKS yang berdaya saing tinggi agar dapat merebut peluang dengan pewujudan projek seperti Malaysian Vision Valley (MVV) 2.0. MVV 2.0 akan menjadi pemain global dengan memanfaatkan sepenuhnya kesan limpahan positif pertumbuhan Greater Kuala Lumpur, meminimumkan kesan persaingan teras bandar Greater Kuala Lumpur yang lebih kukuh.
“Pelaburan terbesar di Negeri Sembilan adalah dengan wujudnya F&N AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan dijangka dapat mewujudkan pelbagai limpahan rantaian bekalan serta perniagaan baru selain peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Ladang Fraser & Neave Holdings Bhd menjangkau lebih 2,726 hektar ini akan menempatkan 20,000 lembu tenusu, menghasilkan 200 juta liter susu segar setahun untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Veerapan berkata, PMKS harus peka dan bersedia dengan perubahan dan mengambil peluang untuk menjadi sebahagian daripada manfaat ini.
“Kerajaan Negeri Sembilan sangat komited dalam menyokong pertumbuhan PMKS Mikro dan Penjaja dengan menyediakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 melalui Geran Tunas Usahawan Neegri Sembilan yang dikenali sebagai TUNS dan telah menyalurkan sejumlah RM19juta peruntukan yang memberi manfaat kepada 6,459 penerima TUNS sejak dari penubuhan dana ini.
“Untuk makluman, terdapat pelbagai agensi yang membantu usahawan yang wujud di Negeri ini dan mereka mempunyai peranan yang berbeza-beza dan difahamkan SME Corp.
“Malaysia juga menyediakan bantuan kepada PMKS berbentuk Geran Padanan, pinjaman perniagaan dengan kadar terendah, program latihan yang menawarkan sokongan teknikal dan kemahiran kompetitif dan khidmat nasihat perniagaan.
“Selain itu, kaedah E-Invois akan meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses pembayaran cukai sekaligus memastikan pembayaran cukai lebih adil dan telus kepada semua pembayar cukai, tidak kira peringkat pendapatan.
“E-Invois akan membolehkan pengesahan dan penyimpanan transaksi hampir masa nyata, memenuhi transaksi Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G),” ujar Veerapan.
Veerapan berkata demikian dalam ucapan perasmian Sesi Perkongsian Bersama Usahawan Bertajuk “Perniagaan Moden: Digitalisasi, Keselamatan dan E-Invois” anjuran SME Corp di Klana Resort, Seremban.