Tengku Zamrah Perkukuhkan Statistik Dan Kesihatan Dalam Semangat Malaysia MADANI

SEREMBAN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menyertai sesi rakaman sempena Hari Statistik Negara 2025 yang bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan”.
Inisiatif ini merupakan usaha penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap peranan data dan statistik sebagai asas kepada pembangunan negara yang mampan serta berpaksikan ilmu.
Dalam masa yang sama, Tengku Zamrah turut menerima kunjungan Dr. Muhamad Hazizi bagi sesi taklimat berkenaan Program Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia 2025 yang akan diadakan pada 18 Oktober ini.
Program tersebut dijangka menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan persekitaran dan kesejahteraan awam.
Menurut Tengku Zamrah, segala usaha ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI di mana ilmu, kesihatan dan perpaduan menjadi nadi kekuatan bangsa.
“Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,” katanya dengan menzahirkan harapan agar setiap langkah kecil yang diambil akan membawa manfaat besar buat rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia.



