Teo Kok Seong sampaikan bantuan keceriaan warga emas di Bahau

BAHAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong menyampaikan Bantuan Keceriaan Warga Emas berjumlah RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas dalam satu program yang berlangsung pagi ini.
Teo berkata, bantuan tersebut merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri Sembilan terhadap jasa dan pengorbanan besar golongan warga emas yang telah banyak menyumbang kepada kestabilan serta kesejahteraan negeri pada hari ini.
“Kehidupan yang aman dan stabil yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan sendirinya, sebaliknya hasil daripada pengorbanan serta sumbangan besar warga emas terdahulu,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menghargai dan mengingati jasa golongan berkenaan, justeru komited untuk membalas pengorbanan itu melalui pelaksanaan dasar-dasar yang lebih prihatin dan berfokuskan kebajikan rakyat.
“Kami mahu memastikan setiap warga emas terus dihormati, dihargai dan dilayan dengan penuh kasih sayang, selari dengan nilai kemanusiaan dan keprihatinan yang menjadi teras pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan bermastautin di Negeri Sembilan layak memohon Bantuan Keceriaan Warga Emas melalui platform N9 Digital atau dengan mengunjungi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berhampiran.
“Kerajaan Negeri sentiasa membuka ruang dan memudahkan akses kepada rakyat, khususnya golongan warga emas, agar tiada yang tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan,” katanya.
Teo menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan warga emas di kawasan Bahau serta memastikan golongan berkenaan sentiasa diberi perhatian sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.



