Berita

Tuanku Muhriz bangga kutipan hasil Kerajaan Negeri capai RM636.17 juta, tertinggi dalam sejarah

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sembilan di atas pencapaian kutipan hasil tertinggi dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

“Dalam aspek pengurusan kewangan, Negeri Sembilan telah mencapai prestasi yang amat membanggakan pada tahun 2024.

“Buat julung-julung kalinya Kerajaan Beta mencatatkan kutipan hasil tertinggi, iaitu sebanyak RM636.17 juta berbanding sasaran RM520 juta.

“Pencapaian ini diperolehi untuk tahun ketiga berturut-turut di mana Kerajaan Beta berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan surplus.

“Pada tahun 2024, defisit RM46.9 juta telah di ubah kepada surplus RM83.07 juta,” titah baginda.

Baginda bertitah, ini mengukuhkan lagi kedudukan rizab Negeri bagi Akaun Hasil Disatukan iaitu daripada RM410.48 juta pada tahun 2023 kepada RM493.55 juta pada tahun 2024.

“Syabas dan tahniah Beta ucapkan kepada semua jabatan-jabatan pemungut hasil, khususnya Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri selaku peneraju utama.

“Beta berharap pihak Kerajaan akan terus merangka strategi dan mencari sumber-sumber baharu dalam usaha meningkatkan lagi kutipan hasil Negeri Sembilan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Show More

Related Articles

Back to top button