Tuanku Muhriz ingatkan rakyat pelihara keharmonian yang jadi kekuatan Negeri Sembilan

BANDAR SERI JEMPOL: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan agar seluruh rakyat terus memelihara keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini.
Kemuliaan Islam hendaklah terus dipertahankan sebagai tunjang kehidupan bernegara, manakala nilai toleransi antara penganut pelbagai agama perlu terus dipupuk demi menjamin kemakmuran yang berkekalan.
“Sesungguhnya, sikap saling menghormati amat penting kerana jika kita menghormati orang lain, sudah tentu kita juga akan dihormati.
“Inilah masanya untuk rakyat negeri ini merenung, memperbaharui semangat serta meneguhkan kembali komitmen kepada kebenaran dan keadilan.
“Adat harus terus ditongkat agar tidak rebah dan pusaka harus terus dipelihara agar tak lapuk dek hujan, tak lokang dek paneh.
“Beta berdoa semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, rahmat dan keberkatan kepada negeri ini serta menjadikan rakyat beta sentiasa hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bersatu hati,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah demikian di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Negeri Sembilan di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.
Turut berangkat Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Baginda juga menyeru agar masyarakat meningkatkan kefahaman dan literasi agama yang sahih, khususnya dalam menghadapi lambakan maklumat di era digital.
“Setiap maklumat yang diterima melalui media sosial hendaklah disemak kesahihannya sebelum disebarkan bagi mengelakkan penularan fitnah, kekeliruan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Sikap bertanggungjawab dalam memperoleh dan menyampaikan maklumat akan membantu memelihara keharmonian serta kesejahteraan masyarakat,” titah Tuanku Muhriz.




