Berita

Tindakan perebutan kuasa, tidak mencerminkan kepimpinan yang bertanggungjawab: Tuanku Muhriz

BANDAR SERI JEMPOL: Kekuatan sesebuah negara serta kelangsungan kemakmurannya amat bergantung kepada kewujudan kepimpinan yang berlandaskan amanah, keadilan dan kebijaksanaan sebagaimana yang dituntut oleh agama.

Sirah hijrah Rasulullah SAW memperlihatkan bahawa kepimpinan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang luhur berupaya menyatukan umat, memperkukuh perpaduan serta membangunkan tamadun yang unggul dan dihormati.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar setiap pemimpin hendaklah sentiasa melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta meletakkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi segala pertimbangan lain.

“Semakin tinggi kedudukan seseorang pemimpin, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang dipikulnya, serta semakin tinggi tuntutan untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan peribadi.

“Sikap dan tindakan yang tidak berhemah atau didorong oleh kepentingan sempit seperti perebutan kuasa sama sekali tidak mencerminkan ciri kepimpinan yang bertanggungjawab,” titah Tuanku Muhriz di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Negeri Sembilan di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.

Turut berangkat Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz. Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Menurut baginda, hanya melalui pentadbiran yang berteraskan prinsip tata kelola yang baik, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negeri dapat terus dipelihara demi diwariskan kepada generasi akan datang.

“Oleh itu, kita tidak boleh lalai dengan kestabilan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini,” titah Baginda.

“Janganlah kita membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian serta ketenteraman yang dinikmati bersama.

“Dalam masa yang sama, kita diamanahkan untuk terus menghayati dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian,” titah Tuanku Muhriz.

 

Show More

Related Articles

Back to top button