Berita

Kekuatan sebuah negeri terletak pada perpaduan rakyat

BANDAR SERI JEMPOL: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, peristiwa Hijrah mengajar bahawa kekuatan sesebuah negeri terletak pada perpaduan rakyatnya.

“Rasulullah SAW berjaya membina masyarakat Madinah yang bersatu walaupun berbeza latar belakang, suku dan agama.

“Begitu juga Negeri Sembilan yang sejak dahulu dibina atas semangat muafakat yang menjadi asas kepada Adat Perpatih.

“Semangat bermusyawarah, saling menghormati dan mencari titik persamaan telah menjadi kekuatan negeri ini sejak turun-temurun,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Negeri Sembilan di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Negeri Sembilan.

Turut berangkat Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.

Menurut Aminuddin lagi, hari ini rakyat Negeri Sembilan terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Kita mungkin berbeza, tetapi kita berkongsi impian yang sama iaitu melihat negeri ini terus aman, makmur dan menjadi tempat terbaik untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan hasil usaha satu pihak semata-mata.

“Ia adalah hasil sumbangan seluruh rakyat; petani, peniaga, pelabur, penjawat awam, guru, petugas kesihatan, anggota keselamatan dan semua yang memainkan peranan masing-masing.

“Justeru, marilah kita terus mempertahankan budaya muafakat yang menjadi identiti Negeri Sembilan,” jelas Aminuddin.

Aminuddin menasihatkan jemaah yang hadir agar jangan biarkan perbezaan menjadi punca perpecahan.

“Sebaliknya, jadikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan untuk membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button