MADANI Dihayati, Ummah Diberkati

BANDAR SERI JEMPOL: Tema Sambutan Maal Hijrah tahun ini, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, membawa mesej bahawa kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui bangunan yang tinggi atau angka ekonomi yang besar, tetapi melalui kekuatan nilai dan akhlak masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kemajuan yang hakiki ialah apabila pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pembangunan rohani.
Apabila kekayaan disertai amanah, kuasa dipandu integriti, ilmu diterjemahkan kepada manfaat dan kejayaan dicapai tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan.
“Inilah roh Malaysia MADANI yang berteraskan Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
” Apabila nilai-nilai ini benar-benar dihayati, maka akan lahirlah masyarakat yang berakhlak, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Daripada masyarakat yang baik akan terbina negeri yang aman, maju dan diberkati Allah SWT,” kata beliau.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat mencemar duli ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026 Negeri Sembilan di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol.
Turut berangkat Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz.




