1,726 Pelajar Baharu Tamhidi Mulakan Langkah Akademik di USIM

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen keterangkuman pendidikan tinggi apabila seramai hamper 80 pelajar daripada keluarga B40 ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Program Tamhidi bagi Sesi Akademik 2026/2027.
Pendaftaran fizikal pelajar baharu Tamhidi berlangsung selama dua hari di Dewan Tuanku Canselor, USIM, bermula semalam, dengan tumpuan bukan sahaja kepada kelancaran proses kemasukan, malah memastikan kebajikan pelajar baharu, khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah, diberikan perhatian sewajarnya.
Berdasarkan statistik pendaftaran, seramai 1,726 pelajar telah hadir mendaftar merangkumi 705 pelajar lelaki dan 1,021 pelajar perempuan bagi lima program Tamhidi yang ditawarkan.
Program tersebut merangkumi Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains, Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, Tamhidi Perakaunan dan Muamalat serta Tamhidi Sains Sosial.
Dalam suasana pendaftaran tersebut, empat sahabat dari Tawau, Sabah iaitu Hanifah Zahrah Arifin, Ainul Safiyyah Humairah Ariffudin, Muhammad Izz Luqman Hanafi Razali dan Muhammad Yusuf Jamaluddin, masing-masing berusia 18 tahun, turut hadir mendaftar dalam Program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang. Berasal daripada sekolah yang sama, mereka memilih USIM untuk mengejar Impian dalam bidang perundangan dan Syariah.
Bagi mereka, peluang melanjutkan pengajian di USIM bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam perjalanan akademik, malah menjadi simbol pengorbanan apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga buat kali pertama.
Sementara itu, majlis pendaftaran turut membawa makna tersendiri apabila empat alumni USIM daripada kohort pertama tahun 2003 dan kohort kedua tahun 2004 kembali ke alma mater mereka, kali ini dengan mendaftarkan anak-anak masing-masing bagi meneruskan legasi ilmu di universiti yang pernah membentuk perjalanan akademik mereka.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, berkata USIM sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap anak berhak memperoleh peluang pendidikan tanpa mengira latar belakang ekonomi mereka.
“Pendidikan adalah hak semua, bukan keistimewaan untuk mereka yang berkemampuan sahaja. Di USIM, kami percaya tiada anak yang harus tercicir daripada menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan. Selagi ada usaha dan harapan, kami akan bersama-sama mencari jalan,” katanya.
Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, USIM menyediakan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah kempen Santun Siswa USIM, antaranya pinjaman kecemasan sehingga RM500 tanpa penjamin dan cagaran, sumbangan kebajikan kepada pelajar memerlukan, Skim Perlindungan Pelajar, Skim Perkhidmatan Kesihatan Pelajar, Food Bank Siswa, Food Bank Asnaf serta Central Kitchen yang menyediakan pek makanan percuma.
Selain itu, pelajar yang layak turut boleh dipertimbangkan bagi sumbangan zakat dan infaq, Dapur Siswa Madani, Menu Kasih Siswa serta peluang kerja dalam kampus melalui program Pembantu Urus Setia, Pembantu Pentadbiran dan MySiswa Job on Campus (JoC) bagi membantu mereka menjana pendapatan sampingan.
Menurut Prof. Dr. Mushaddad, pendekatan USIM bukan sekadar membuka ruang kemasukan ke universiti, tetapi memastikan pelajar dibimbing dan disantuni selepas mereka melangkah masuk ke kampus.
“Tiada siapa patut dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan hanya kerana tidak mampu membayar pada saat pertama melangkah ke universiti. Di USIM, kami memilih untuk membantu, bukan menghukum; mencari penyelesaian, bukan menyisihkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa bersedia membantu dan mengusahakan penyelesaian terbaik bagi setiap kes yang dikemukakan oleh pelajar, termasuk melalui khidmat nasihat, semakan kelayakan bantuan, rujukan kepada saluran kewangan bersesuaian serta penyelarasan dengan pihak berkaitan.
Inisiatif Santun Siswa membuktikan bahawa USIM bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah turut memastikan kebajikan pelajar dipelihara secara menyeluruh, sekali gus membentuk persekitaran kampus yang inklusif, prihatin dan berteraskan nilai ihsan.
USIM turut menyeru pelajar dan ibu bapa agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat, sebaliknya merujuk terus kepada pihak universiti melalui saluran rasmi bagi mendapatkan penjelasan dan bantuan sewajarnya.



