SEREMBAN: Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan Halal Kotej akan diteruskan lagi pada 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sehingga kini TUNS telah memberi manfaat kepada 6,459 orang usahawan kecil di negeri ini.
“Melihat kepada sambutan yang luar biasa ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan lagi inisiatif ini pada tahun akan datang.
“Sebanyak RM3 juta peruntukan diberikan bagi melaksanakan inisiatif ini.
“Dijangka dapat memberi manfaat kepada 1,000 orang usahawan kecil di negeri ini,” kata Aminuddin.
TUNS merupakan inisiatif yang mula diperkenalkan sejak 2019 oleh Kerajaan Negeri dan mula dikenali dalam kalangan rakyat di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, inisiatif Halal Kotej juga akan diteruskan lagi dengan peruntukan sebanyak RM0.5 juta.
Aminuddin menambah, inisiatif ini adalah bagi membantu usahawan kecil mendapatkan sijil halal dengan melepasi piawaian yang ditetapkan.
“Usaha ini telah berjaya membantu 224 usahawan mendapatkan sijil halal sebelum ini.
“Secara tidak langsung ia dapat membantu usahawan untuk mengembangkan lagi pasaran perniagaan masing-masing,” tambah beliau.