UMNO tunjuk prestasi terbaik bersama rakan politik, demi kesejahteraan rakyat

JELEBU: Ketua Bahagian UMNO Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO pada hari ini berfungsi sebagai penggerak bersama dalam Kerajaan Perpaduan melalui kekuatan yang digabung dari pelbagai peringkat dan keringat.
“Kita telah menunjukkan yang terbaik bersama rakan-rakan politik lain demi memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat ini terus terpelihara.
“Perpaduan bukan semata-mata untuk kelangsungan politik, tapi demi memastikan suara rakyat terus didengar dan nasib masyarakat terus dibela.
“UMNO tetap utuh, UMNO tetap relevan.
“Bersama kita gerakkan parti dan negara ke hadapan,” ujar Jalaluddin.
Jalaluddin berkata demikian dalam ucapan perasmian serentak Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu Tahun 2025 yang berlangsung dengan penuh semangat juang dan ukhuwah ahli parti di Kompleks UMNO Simpang Pertang.
Dalam pada itu, Jalaluddin berharap semua persidangan di peringkat cawangan dapat dilaksanakan dengan sehabis baik, lancar, mengikut peraturan dan membuahkan impak ketumbukan yang besar kepada perjuangan UMNO di Parlimen Jelebu.
“Selaraskan naratif untuk semua ahli, supaya di tahun 2025 ini kita mampu mencipta gelombang perjuangan yang lebih digeruni dan disegani, Insya Allah,” kata beliau.