Universiti MILA lancar fakulti pengurusan dan perniagaan, perkasa pendidikan digital di Malaysia

NILAI: Universiti MILA dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (SOMB), sebuah inisiatif perintis yang bakal mentransformasikan pendidikan perniagaan melalui pengalaman ‘SMART Campus’ yang inovatif.
Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Penasihat Khas Kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Turut bersama, Ahli Lembaga Pengelola Universiti MILA, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir.Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Canselor Universiti MILA, Prof. Dr.Jason Fitzsimmons dan Ketua Pegawai Eksekutif University MILA, Prof. Dr.Cao Fei.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Penguatkuasaan dan Inspektorat Kementerian Pendidikan Tinggi, Mohamad Irza Dahari; Pengarah Bahagian Standard Swasta, Jabatan Pendidikan Tinggi Universiti Nilai, Husaini Amir Azizan.
Penubuhan SOMB merupakan langkah strategik ke arah pendidikan berasaskan industri, inovasi digital, dan kecemerlangan akademik.
Direka untuk melahirkan pemimpin perniagaan masa depan, fakulti ini menampilkan sembilan bilik kuliah berinovasi tinggi, ruang pembelajaran moden, serta kurikulum interaktif yang menggabungkan teori dan aplikasi dunia sebenar.
Ketika pelancaran, Prof. Dr. Cao Fei menekankan komitmen universiti dalam mendukung pendidikan transformasi.
Hari ini menandakan pencapaian luar biasa bagi Universiti MILA dengan pelancaran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.
Langkah ini bukan sekadar memperluaskan portfolio akademik kami, tetapi juga membentuk generasi pemimpin masa depan menerusi inovasi, kolaborasi, dan perspektif global.
Inisiatif ini mencerminkan visi kami dalam mengintegrasikan teknologi, kerjasama industri, serta pembelajaran berasaskan pengalaman bagi mempersiapkan pelajar menghadapi dunia perniagaan yang dinamik.
Kurikulum SOMB melangkaui pendidikan perniagaan konvensional dengan menawarkan pengalaman pembelajaran global, kolaborasi industri, komuniti pelajar pelbagai budaya, serta pengiktirafan antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Ekonomi Haikou (HUE) di China.
Perkongsian ini membuka peluang kepada pertukaran budaya, penyelidikan, dan jaringan profesional bagi memastikan pelajar memperoleh kepakaran tempatan serta pendedahan global.
Selaras dengan falsafah Universiti MILA, ‘Own Your Experience’, pelajar di SOMB akan terlibat dalam latihan industri, projek penyelidikan, dan kurikulum berasaskan industri yang membekalkan kemahiran praktikal untuk meningkatkan kebolehpasaran dan keusahawanan.
Sorotan utama pendekatan fakulti ialah program ‘Expert Series’, di mana Pakar MILA yang bukan sahaja pendidik tetapi juga pengamal dan penyelidik industri, membimbing pelajar dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), Data Raya (Big Data) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) serta memenuhi Kurikulum Revolusi Industri 4.0.
Sebagai sebuah institusi pendidikan yang komited terhadap kecemerlangan akademik, pelancaran SOMB menandakan era baharu dalam pendidikan tinggi di Universiti MILA, di mana pelajar bukan sekadar menuntut ilmu tetapi juga bersedia untuk menjadi profesional di masa depan yang berdaya saing dan berwawasan global.