Wan Azizah Raikan Kepulangan Aktivis FFC-TMG Di KLIA

SEPANG: Sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Medleens to Gaza (TMTG) ke Palestin selamat tiba di tanah air sekitar jam 4 petang semalam.
Ketibaan mereka di Balai Ketibaan, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut dengan penuh rasa haru dan bangga oleh ahli keluarga serta ratusan rakyat Malaysia yang turut melaungkan sokongan “Bebaskan Palestin”.
Turut hadir menyambut kepulangan mereka ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr Zulkifli Hasan.
Dalam sidang media yang diadakan selepas itu, Dr Zulkifli berkata proses membawa pulang para sukarelawan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dalam menjamin keselamatan serta kebajikan warganegara selaras dengan nilai teras ihsan dalam kerangka Malaysia Madani.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan menyambut kepulangan sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC dan TMTG yang telah selamat tiba di tanah air petang tadi. Proses ini menggambarkan semangat kemanusiaan yang tinggi serta solidariti tanpa sempadan terhadap penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Misi tersebut disertai oleh 150 peserta dari 25 negara yang menaiki kapal Conscience dan Umm Saad yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.
Rakyat Malaysia menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian serta dedikasi pasukan negara yang telah berjuang membawa mesej kemanusiaan dan keamanan untuk rakyat Gaza.
“Perjuangan membebaskan Palestin tidak akan berhenti di sini. Kita akan terus memperkukuh solidariti dan menyuarakan keadilan untuk rakyat Palestin dalam pelbagai bentuk dan saluran,” ujar Dr Zulkifli.
Kepulangan mereka bukan sahaja disambut dengan kegembiraan tetapi turut menjadi simbol keteguhan semangat rakyat Malaysia dalam mendukung perjuangan kemanusiaan khususnya dalam memperjuangkan kebebasan dan hak rakyat Palestin yang terus tertindas di bumi Gaza.