Berita

Washington puji peranan Anwar usahakan gencatan senjata Thailand-Kemboja

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) memuji kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjayakan perjanjian gencatan senjata segera antara Thailand dan Kemboja.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara berkata, pihaknya menyambut baik pengisytiharaan gencatan senjata yang diumumkan di Kuala Lumpur.

Jabatan Negara AS menerusi kenyataan rasmi memaklumkan Presiden, Donald Trump komited terhadap penghentian segera segala bentuk keganasan di negara terlibat.

AS menggesa kedua-dua kerajaan menunaikan komitmen yang telah dipersetujui bagi menamatkan konflik yang berlarutan.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kepemimpinan beliau serta memainkan peranan penting sebagai tuan rumah menganjurkan rundingan gencatan senjata ini.

Dalam pada itu, Thailand dan Kemboja bersetuju menamatkan persengketaan melalui pelaksanaan gencatan senjata berkuatkuasa serta merta.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menerima amanah besar bersama rakan-rakan lain untuk memantau pelaksanaan dan pematuhan gencatan senjata ini, atas permintaan kedua-dua pihak.

“Pendekatan damai ini mencerminkan semangat Piagam ASEAN berlandaskan hormat-menghormati, penyelesaian secara rundingan, dan penolakan keganasan demi kemanusiaan.

“Kita mesti teguh mempertahankan perpaduan ASEAN agar rantau ini kekal sebagai antara wilayah paling aman, stabil dan makmur di dunia.

“Keamanan adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat serantau.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja atas penyelesaian diplomatik ini, serta kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping atas peranan menyokong usaha damai ini.

“ASEAN terus membuktikan kepimpinan berwibawa di pentas antarabangsa berpaksikan dialog, diplomasi dan nilai kemanusiaan,” kata Anwar.

Show More

Related Articles

Back to top button