WCE Selatan dalam perancangan, dijangka rangsang ekonomi Port Dickson: MB

SEREMBAN: Cadangan jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bakal melalui Negeri Sembilan kini berada dalam peringkat perancangan dan dijangka membawa limpahan ekonomi kepada kawasan seperti Port Dickson.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, laluan tersebut dimasukkan dalam pelan Highway Network Development Plan 2030 (HNDP 2030) yang disediakan oleh Kementerian Kerja Raya.
“Projek ini masih di peringkat perancangan oleh Bahagian Perancang Jalan. Tetapi jika diteruskan nanti, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat, terutama di kawasan pantai seperti Port Dickson.
“Cadangan jajaran WCE Selatan itu bakal menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor.
“Projek sepanjang 311 kilometer itu dianggarkan menelan belanja RM63 bilion dan dijangka dilaksanakan secara konsesi oleh pihak swasta,” kata Aminuddin.
Aminuddin turut memaklumkan bahawa cadangan lebuh raya tersebut turut dikemukakan menerusi inisiatif pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah, yang melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah penyelarasan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
“Kalau projek ini direalisasikan, ia akan memperkukuh jaringan pengangkutan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan secara menyeluruh,” tambah beliau.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan daripada ADUN Chuah, Yew Boon Lye di Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-15, Hari Keempat.