Women in Halal Industry, buka peluang perniagaan besar kepada wanita

Program Pemerkasaan Wanita MARA dan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di Dewan Armada Utama, Politeknik Bagan Datuk, Perak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr.Noraini Ahmad berkata, ini satu program yang cukup bermakna kerana ia memberi ruang kepada wanita untuk terus menyerlahkan potensi, bukan sekadar diiktiraf sebagai tulang belakang masyarakat, tetapi juga sebagai penggerak utama pembangunan negara.
“Di dalam sesi bual bicara, saya turut berkongsi tentang Women in Halal Industry (WHI) di bawah Halal Development Corporation Berhad (HDC).
“Ianya merupakan sebuah inisiatif yang membuka peluang besar kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam industri halal, sama ada sebagai usahawan, tenaga profesional mahupun peneraju kepimpinan.
“Melalui WHI, wanita bukan sahaja berpeluang meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, malah dapat memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor halal yang terus berkembang pesat di peringkat global.
“Inilah ruang yang akan memberi manfaat besar, bukan sekadar kepada wanita itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara,” jelas Noraini.
Noraini mengucapkan syabas dan tahniah kepada hampir 1,000 orang usahawan wanita yang hadir memenuhi dewan, datang dengan semangat tinggi bersama tekad untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan memperkukuh jaringan kerjasama.
“Kehadiran anda membuktikan bahawa wanita sedia melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan,” ujar beliau.