16 pasukan termasuk FC Seoul Phoenix bertanding Liga A1 Semi Pro 2025-2026

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pasukan mengesahkan penyertaan dalam saingan separuh profesional Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
Menariknya musim ini saingan Liga A1 Semi Pro diwarnai oleh kelab dari Korea Selatan, FC Seoul Phoenix dan bekas pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Dato’ Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan, KDA FC dan FC Seoul Phoenix bersama Guar Syed Alwi (GSA) FC sebelum ini diberikan kelulusan bersyarat dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen mengikut tempoh yang diberikan.
“AFL juga mengesahkan penyertaan pasukan UM-Damansara United yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu bersama Ipoh City FC.
“KDA FC, GSA FC dan FC Seoul Phoenix kini sudah disahkan penyertaan mereka dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
“Setelah melalui proses semakan dokumen dan kriteria ditetapkan sama seperti pasukan lain, UM-Damansara United juga turut disahkan penyertaan bagi melengkapkan jumlah 16 pasukan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
“Bagi Ipoh City FC pula, pasukan berkenaan mengambil keputusan untuk menarik diri dari menyertai saingan itu,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL yang diadakan pada 5 Jun lalu memaklumkan 12 pasukan berjaya mengesahkan penyertaan bagi musim 2025-2026.
Pasukan berkenaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).