170 mahasiswa Negeri Sembilan terima Insentif Siswazah Cemerlang RM850,000

SEREMBAN: Seramai 170 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata, semua pelajar menerima sumbangan wang tunai RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM800,000.
“Saya amat yakin anugerah ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada usaha gigih anak-anak kita, tetapi menjadi pendorong kepada generasi muda untuk terus berusaha dan bersaing mencipta kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
“Pada Belanjawan Negeri Sembilan 2025 dengan tema ‘Bersama Membina Negeri Madani’ peruntukkan berjumlah RM19.66 juta bagi bidang tumpuan Pendidikan yang merupakan peruntukan kedua terbesar Belanjawan 2025.
“Selain itu, berkat tatakelola pengurusan yang baik, Yayasan Negeri Sembilan telah Berjaya menjana pendapatan dan keuntungan bagi tahun 2024 sekaligus dapat merealisasikan agenda memperkasa bidang tumpuan pendidikan.
“Bagi meneruskan agenda pendidikan berterusan dan kesinambungan kecemerlangan pelajar, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan meneruskan komitmen tahun 2025 ini dengan inisiatif-inisiatif seperti Bantuan Peranti Mudah Alih bagi pelajar Tingkatan Enam, Bantuan Komputer Riba dan Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk pelajar di IPTA serta insentif Khas Galakan Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM.,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata, pada Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik Kecemerlangan SPM 2024 yang diadakan baru-baru ini, beliau telah menyampaikan Insentif Khas berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 24 orang pelajar cemerlang yang berjaya mencapai semua A+ dalam SPM 2024 dari sekolah-sekolah di Negeri Sembilan.
“Pencapaian SPM 2024 telah menunjukkan peningkatan yang ketara hasil usahasama antara pihak Yayasan Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
“Saya difahamkan bahawa Bahagian Pendidikan, Yayasan Negeri Sembilan sedang menyusun gerak kerja untuk menjayakan Program Tuisyen Madani untuk calon-calon SPM yang terpilih dari sekolah-sekolah di Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
“Saya amat yakin dengan bantuan dan usaha sama dari banyak pihak, anak-anak Negeri Sembilan akan terus maju dengan cemerlang dan melakar sejarah di negeri ini,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan tahun 2025 di Klana Resort.