20 unit MyKiosk diperuntuk untuk Kawasan Nilai dan Mantin
NILAI: Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J.Arul Kumar bersama Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah memberikan surat tawaran MyKiosk kepada peniaga-peniaga sedia ada di Desa Jasmin Nilai dan di hadapan Pasaraya Giant Nilai.
“Semua peniaga ini adalah peniaga yang telah berniaga lama dan diberi keutamaan.
“Saya juga telah cadangkan supaya peniaga-peniaga yang lama berniaga di sesuatu kawasan yang tidak ada sebarang gangguan diberikan keutamaan dalam pemberian MyKiosk bagi tahun ini.
“MyKiosk ini memberikan keselesaan dan mewujudkan satu imej yang baik,” ujar Arul Kumar.
Arul Kumar berkata, beliau telah meminta kepada MBS supaya batal dan menarik balik segera MyKiosk tersebut terhadap mana mana peniaga yang menyewakan MyKiosk ini kepada orang lain.
“Ini termasuk sesiapa yang meletakkan warga asing sebagai pekerja dalam MyKiosk dan sesiapa yang membuat struktur tambahan di MyKiosk ini.
“Tarik balik dan lebih baik diberikan kepada peniaga-peniaga lain yang layak dan betul-betul mahu berniaga sendiri,” tegas Arul Kumar yang juga ADUN Nilai.
Dalam pada itu, Arul Kumar berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan bagi pembekalan 20 unit MyKiosk bagi Kawasan Nilai dan Mantin.