Berita

203 pelajar cemerlang terima insentif RM883, 000 daripada Aminuddin

SEREMBAN: Seramai 170 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan dan 33 pelajar Tingkatan Enam menerima Insentif Kecemerlangan STPM daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata, seramai 170 orang Siswazah Cemerlang Kelas Pertama menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri dengan insentif sebanyak RM5,000 seorang, manakala 33 orang pelajar cemerlang STPM Tahun 2025 menerima insentif sebanyak RM1,000 seorang.

“Tahniah kepada semua penerima. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi kebanggaan seluruh Negeri Sembilan,” kata beliau di Majlis Penyampaian Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan serta Insentif Kecemerlangan STPM Tahun 2025 di Klana Resort, di sini.

Aminuddin berkata, kerajaan yang baik bukan diukur pada banyaknya janji, tetapi pada sejauh mana hasil negeri dapat dikembalikan kepada rakyat.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri melalui Yayasan Negeri Sembilan memperuntukkan RM850,000 bagi Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama dan RM33,000 bagi Insentif Kecemerlangan STPM Tahun 2025.

“Bagi saya, setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan bukanlah satu perbelanjaan, tetapi satu pelaburan untuk masa depan Negeri Sembilan.

“Saya sentiasa percaya bahawa jika sesebuah organisasi diurus dengan amanah, cekap dan berintegriti, hasilnya akan kembali kepada rakyat,” jelas Aminuddin.

Menurut Aminuddin, sejak Yayasan Negeri Sembilan distrukturkan semula pada tahun 2018, prestasi kewangannya terus menunjukkan peningkatan.

“Hasil yang bertambah itu tidak saya simpan.

“Saya pulangkan semula kepada rakyat melalui pendidikan, kerana saya percaya pendidikan adalah jalan paling berkesan untuk memutuskan rantaian kemiskinan, meningkatkan taraf hidup dan melahirkan generasi pemimpin masa hadapan,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button