36 penerima RMM Bukit Jimah miliki rumah tanpa cabutan undi

SENDAYAN: Seramai 36 penerima Rumah Mampu Milik (RMM) Type A Taman Bukit Jimah yang hadir pada Majlis Pengundian RMM dan Pecah Tanah Projek Pembinaan Surau Taman Bukit Jimah hari ini menerima khabar gembira apabila tidak perlu melalui proses cabutan undi selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun memutuskan semua yang hadir akan ditawarkan sebuah rumah.
Aminuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas hanya 36 daripada 50 pemohon yang disahkan layak menghadiri majlis berkenaan, manakala jumlah rumah yang disediakan adalah sebanyak 73 unit, sekali gus menjadikan proses cabutan undi tidak lagi diperlukan.
“Keputusan tersebut membolehkan semua pemohon yang hadir memiliki rumah tanpa perlu bersaing melalui undian.
“Projek berkenaan pada asalnya menerima sebanyak 228 permohonan sebelum melalui proses saringan yang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama Bahagian Perumahan sehingga memilih 50 pemohon yang layak.

“Alhamdulillah, semua pemohon yang melepasi tapisan dan hadir pada hari ini akan ditawarkan sebuah Rumah Mampu Milik tanpa perlu melalui proses cabutan undi,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri terus komited memastikan agenda perumahan mampu milik menjadi keutamaan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
“Sejak Jun 2018 hingga 30 April 2026, sebanyak 30,484 unit Rumah Mampu Milik telah diluluskan di Negeri Sembilan melibatkan 9,821 unit Type A, 10,925 unit Type B dan 9,526 unit Type C.
“Projek RMM Type A Taman Bukit Jimah kini mencapai kira-kira 50 peratus kemajuan pembinaan dan dijangka memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada Januari 2028.
“Sebanyak 73 unit Rumah Mampu Milik Type A bernilai tidak melebihi RM110,000 sedang dibangunkan di kawasan ini,” ujar beliau lagi.
Dalam majlis sama, Aminuddin turut menyempurnakan upacara simbolik pecah tanah Projek Pembinaan Surau Taman Bukit Jimah yang dibina sepenuhnya oleh Hartabina Perwira (Sendayan) Sdn. Bhd. di atas tapak seluas 1.08 ekar.
Beliau berkata, surau berkenaan dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk serta menjadi pusat penyatuan masyarakat selain tempat menimba ilmu dan memupuk ukhuwah dalam komuniti setempat.



