Berita

44 orang mangsa banjir terima bantuan kewangan

BAGAN PINANG: Seramai 44 orang individu yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada Mac 2025 lalu menerima sumbangan kewangan atau ‘wang ihsan’ yang disampaikan oleh Penyelaras DUN Bagan Pinang, Dato’ Mohd Faizal Ramli, di Pejabat Penyelaras DUN berkenaan.

Menurut beliau, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban mangsa terlibat, termasuk mereka yang terkesan walaupun tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bagi membantu meneruskan kehidupan harian selepas bencana.

“Selain bantuan kepada mangsa banjir, saya turut menyampaikan sumbangan kepada dua orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan itu turut dihadiri Penolong Pegawai Daerah Port Dickson, Tok Penghulu serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang bersama-sama melancarkan program berkenaan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat yang terkesan.

Sementara itu, pada sebelah pagi, Faizal menerima kunjung hormat Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Sembilan, Tuan Haji Ir Mohd Zaiddy Mat Rajali di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi, yang turut menyampaikan sumbangan program ‘Back to School’ untuk diagihkan kepada anak-anak terpilih daripada golongan B40 di kawasan DUN Linggi.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TNB atas sumbangan tersebut dan berharap inisiatif berkenaan dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, selain mendoakan agar TNB terus maju dan mampu menyalurkan lebih banyak bantuan kebajikan kepada masyarakat pada masa akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button