Berita

49 nelayan Negeri Sembilan terima bantuan LKIM

PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan komuniti nelayan apabila seramai 49 nelayan di negeri ini menerima bantuan menerusi Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan jumlah keseluruhan RM93,600.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, majlis penyerahan bantuan yang berlangsung di Dewan Haji Abdul Samad, Quest Hotel, membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menyantuni golongan nelayan yang menjadi tulang belakang ekonomi pesisir negeri.

“Daripada jumlah penerima, seramai 32 nelayan terjejas akibat ribut pada 27 November 2025 manakala 17 lagi melibatkan kes kebajikan, termasuk kemalangan dan musibah lain yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Skim bantuan ini merupakan antara instrumen penting bagi memastikan nelayan yang terkesan menerima bantuan secara cepat, tersusun dan bersasar,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut memaklumkan, Negeri Sembilan kini mempunyai kira-kira 625 nelayan berdaftar, majoritinya terdiri daripada nelayan pesisir dan nelayan kecil yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai sumber rezeki.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri bersama LKIM akan terus memperkukuh sokongan kepada komuniti nelayan melalui pelbagai inisiatif termasuk skim bantuan bencana dan kebajikan, elaun sara hidup, program baik pulih bot serta penyediaan peralatan menangkap ikan.

“Pada masa sama, jelasnya, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan sektor perikanan dan akuakultur bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan daya tahan ekonomi nelayan.

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan setiap projek pembangunan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat, khususnya golongan nelayan, selaras dengan hasrat membina Negeri Sembilan yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button