BeritaKolumnis

Adakah bantuan flotila ke Palestin sia-sia?

Belakangan ini kita dihangatkan dengan sebuah gerakan yang menghantar bantuan perubatan dan makanan ke Palestin yang sedang ditindas oleh puak rejim zionis. Ya tidak lain dan tidak bukan kita sedang bercakap mengenai Sumud Flotila yang membawa lebih daripada 500 aktivis daripada 44 buah negara seluruh dunia demi membawa satu mesej yang sama iaitu keamanan.

Sumud Flotila, yang membawa lebih 500 aktivis daripada 44 negara, berangkat dengan membawa mesej keamanan dan bantuan kemanusiaan. Namun sebelum sauh dijatuhkan, beberapa kapal mereka ditahan secara paksa.

Tidak lama kemudian muncul gelombang ketiga di bawah Freedom Flotila Coalition (FFC) dan Thousand Madleens, yang turut membawa aktivis, wartawan dan doktor dari kira-kira 20 negara, namun bot mereka ditawan ketika kira-kira 150 batu nautika dari Gaza.

Tindakan penahanan ini mendapat kecaman antarabangsa dan memaksa beberapa pemimpin, termasuk Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menggunakan saluran diplomasi untuk memastikan keselamatan serta pemulangan rakyat Malaysia yang terlibat.

Namun di sebalik semua usaha yang dijalankan ini terdapat suara-suara yang mempersoalkan sejauh manakah keberkesanan usaha ini dan ia seolah satu usaha yang sia-sia.

Suara-suara ini muncul selepas kepulangan wira negara yang terlibat dalam Sumud Flotila disambut meriah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Sebenarnya, penahanan kapal dan penindasan yang tersebar melalui laporan media serta rakaman aktivis berjaya menimbulkan gelombang simpati global laungan “Free Palestine” bergema lebih kuat, dan fakta penindasan yang sebelum ini kerap tersorok kini menjadi tumpuan rakyat dan media antarabangsa.

Dari sudut strategi, misi-misi ini bukan hanya soal menghantar bantuan fizikal semata-mata. Ia berfungsi untuk:

i) Menyalurkan tekanan diplomatik kepada pihak yang melakukan sekatan;

ii) Mendedahkan dan mendokumentasikan kejadian yang berpotensi menjadi bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa;

iii) Menggerakkan kesedaran awam dan membina solidariti global yang boleh mempengaruhi keputusan politik masa hadapan;

iv) Memberi semangat moral kepada rakyat Palestin bahawa masyarakat antarabangsa masih memerhatikan penderitaan mereka.

Memang wujud kebimbangan mengenai keberkesanan jika sasaran fizikal tidak tercapai, tetapi dari segi kesedaran, diplomasi dan moral, impaknya nyata. Sekiranya disertai perancangan rapi dan sokongan serantau serta antarabangsa yang lebih kukuh, misi-misi sedemikian boleh menjadi sebahagian daripada tekanan menyeluruh untuk memastikan bantuan sampai dan hak asasi dipulihkan.

Kritikan terhadap sikap segelintir negara Arab yang berdiam diri wajar menjadi pemangkin supaya tindakan kolektif lebih tersusun.

Ini membenarkan hadis Nabi S.A.W. bahawa umat Islam di akhir zaman itu ramai, tetapi ibarat buih di lautan.

Sebagai umat Islam dan manusia yang berperasaan, usaha memberi sokongan sama ada melalui diplomasi, bantuan, advokasi atau menyuarakan kebenaran adalah langkah yang harus diteruskan.

Untuk rakyat Palestin, kami bersama kamu.

Show More

Related Articles

Back to top button