ADUN pembangkang puji Belanjawan Negeri Sembilan 2025
SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Negeri Sembilan memuji Belanjawan Negeri Sembilan 2025 yang dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan Negeri.
Memetik perbahasan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad (PN) berkata, walaupun sebagai pembangkang, beliau melihat sembilan bidang tumpuan di dalam Belanjawan 2025 mempunyai skop yang tepat untuk dinilai keberkesanannya.
“Sebelum itu, saya juga mengucapkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Sikamat atas pengumuman Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.
“Ia merupakan petanda yang baik bagi menghargai usaha penjawat awam yang telah banyak menyumbang buah fikiran dan menambah baik mutu perkhidmatan.
“Saya juga menyokong Belanjawan Negeri Sembilan 2025,” kata Ridzuan.
Dalam pada itu, ADUN Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (PN) berkata, belanjawan kali ini menyentuh pelbagai sektor.
“Walaupun ia merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah, ia menyentuh pelbagai sektor pemberian kepada kebanyakan lapisan masyarakat.
“Semoga belanjawan kali ini, kita dapat budayakan penggunaan yang berhemah.
“Akhirnya, saya menyokong usul Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Sembilan 2025,” kata Mohd Fairuz.