BeritaMenarikProgram

Projek jalan Gateway Seremban – Temiang – Sikamat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah mengangkat dua permohonan kepada Kerajaan Persekutuan berkaitan projek Lingkaran Tengah Seremban bagi menyuraikan trafik di Bandar Seremban.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat-PH) berkata, dua projek tersebut ialah membina Jalan Lingkaran Tengah Seremban dari Interchange Temiang (LEKAS) ke Interchange Jalan Dato’ Siamang Gagap, Sikamat.

“Membina Jalan Lingkaran Tengah dari Interchange Labu (Gateway) ke FT001 (Jalan Tun Dr.Ismail) dan ke Temiang, pada Rolling Plan-4, RMK-12 yang lalu kepada pihak Kementerian Kerja Raya.

“Pada masa ini kelulusan telah diberikan bagi melaksanakan Kajian Trafik terlebih dahulu, di bawah tajuk Kajian Trafik Bagi Membina Jalan Lingkaran Tengah Seremban dengan kos berjumlah RM500,000,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata, bagi cadangan perancangan menaiktaraf kerja-kerja naiktaraf Jalan Tunggal Dua Lorong Dua Hala kepada Jalan Empat Lorong Dua Hala ini, antara beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut:

i. Impak sosial
ii. Kos projek termasuk pengambilan tanah serta pengalihan utiliti
iii. Kajian trafik
iv. Level of Service jalan sedia ada berada pada LOS E atau LOS F

“Walau Bagaimanapun JKR Negeri Sembilan sentiasa mengambil input serta maklumat daripada Ahli Parlimen kawasan, ADUN kawasan, ketua masyarakat, penduduk setempat, agensi kerajaan mahupun pihak NGO serta pihak swasta dalam memberi cadangan dan pandangan bagi keperluan untuk menaiktaraf jalan-jalan sedia ada.

“Kita dapat lihat pembangunan yang berlaku di sebelah Selangor iaitu Beranang dibangunkan oleh pihak swasta, maka kita mengharapkan agar dengan perancangan yang kita jalankan, kita dapat membangunkan Kawasan Lingkaran Tengah,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Lobak, Chew Seh Yong pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban.

Chew bertanya, adakah terdapat rancangan menaiktaraf Jalan Tun Dr.Ismail ke Jalan LEKAS menjadi empat lorong dua hala?

“Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi menaik taraf jalan yang belum mempunyai empat lorong dua hala? tanya beliau.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, jalan yang dinyatakan Chew adalah Jalan Persekutuan FT001, Jalan Seremban – Beranang.

“Pada masa ini JKR tiada perancangan bagi menaiktaraf jalan tersebut,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button