Akta pekerja gig dan LINDUNG 24 Jam bukti komitmen kerajaan perkukuh perlindungan sosial

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 dan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial negara yang lebih inklusif, mampan dan selari dengan keperluan tenaga kerja semasa.
Menteri Sumber Manusia Dato” Seri R. Ramanan berkata perkara itu antara yang dikongsikan ketika mengetuai delegasi Malaysia dalam kunjungan hormat kepada Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed di Geneva, Switzerland.
Menurut beliau, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memastikan setiap reformasi yang dilaksanakan mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pekerja dan daya saing majikan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata, dalam sesi itu, Malaysia turut berkongsi pelbagai pencapaian serta reformasi perundangan yang dilaksanakan Kerajaan MADANI bagi memperkukuh kebajikan, perlindungan sosial dan kesejahteraan pekerja.
“Antara perkara yang diketengahkan ialah pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang telah berkuat kuasa pada 31 Mac 2026, sebagai langkah penting dalam memastikan lebih 1.6 juta pekerja gig menikmati perlindungan sepanjang masa dan hak yang lebih terjamin selaras dengan perkembangan dunia pekerjaan semasa.
“Pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.
“Skim itu menyediakan perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh kepada lebih sembilan juta pekerja di Malaysia tanpa mengira masa dan lokasi kemalangan, termasuk di luar waktu bekerja.
“Skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan menerusi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 turut memperluaskan jaringan perlindungan keselamatan sosial termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am,” kata Ramanan.
Dalam pada itu, beliau berkata kunjungan berkenaan membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta amalan terbaik dalam bidang keselamatan sosial, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik Malaysia dengan ISSA bagi memperkasakan agenda perlindungan sosial di peringkat antarabangsa.



