Berita

Aminuddin sasar sifar miskin tegar hujung bulan ini

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mensasarkan bahawa Negeri Sembilan akan sekali lagi mencapai sifar miskin tegar pada penghujung bulan Jun ini.

Aminuddin berkata, ini kerana sehingga 29 Mei lalu, sebanyak 1,697 Ketua Isi Rumah (KIR) di bawah garis miskin tegar dikesan di negeri ini.

“Oleh hal yang demikian, pelbagai langkah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan bahawa tiada lagi miskin tegar di Negeri Sembilan.

“Sehingga hari ini, hanya tinggal 77 KIR sahaja lagi untuk dibantu dan dikeluarkan daripada garis tersebut.

“Mereka yang tidak produktif akan ditambah daripada segi bantun bulanan, manakala mereka yang produktif atau mempunyai anak yang tidak bekerja, Kerajaan Negeri telah melakukan kerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengambil anak-anak mereka bekerja sekaligus membantu mereka menambah pendapatan bulanan.

“Dalam pada itu, sebuah program ‘Drive-thru Recycle Centre’ untuk diletakkan di kawasan berkomuniti di samping mampu membantu mereka yang miskin tegar untuk menambah pendapatan.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk menunjukkan komitmen untuk mencapai sifar miskin tegar,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut tambah, bahawa sekiranya terdapat pendaftaran baru miskin tegar beliau akan tetap komited membantu sedaya upaya.

“Kalau ada lagi pertambahan baru, kita akan bantu sehingga miskin tegar ini selesai,” ujarnya.

Aminuddin berkata demikian di sidang media pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button