Aminuddin Sasar Tarik MNC, Fokus Tingkatkan Sektor Halal NS

NILAI: Negeri Sembilan kini menjadi tumpuan sebagai hab halal utama negara yang semakin menarik minat syarikat multinasional (MNC) untuk melabur di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, perkembangan itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap ekosistem halal yang sedang dibangunkan di negeri ini.
“Kita sedia maklum ini merupakan kawasan halal yang menjadi tumpuan dan kita berharap dengan kehadiran Mahsuri Food Sdn. Bhd dan beberapa lagi pelaburan akan memberikan impak yang baik serta menunjukkan bahawa hub halal utama berada di Negeri Sembilan.
“Penggunaan ekosistem halal yang baik ini juga menjadi faktor yang mendorong lebih banyak syarikat multinasional dalam industri halal untuk hadir ke Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Kilang Mahsuri Food Sdn. Bhd. yang berlangsung di sini.
Aminuddin berkata, pembangunan industri halal di negeri itu tidak hanya tertumpu kepada sektor makanan semata-mata sebaliknya akan diperluaskan kepada industri lain termasuk sektor perubatan.
“Kita bukan hanya menetapkan kawasan ini sahaja, tetapi juga kawasan baharu yang akan menempatkan bukan sahaja industri makanan tetapi juga farmaseutikal, vaksin, produk R&D dan kosmetik halal.
“Selepas produk makanan halal, kita akan tumpukan pula kepada produk lain di kawasan baharu.
“Malah, kita sedang merancang pembangunan ini bersama pihak berkaitan dan berharap ia mendapat sambutan lebih besar,” tambahnya lagi.
Aminuddin turut memaklumkan antara kawasan yang dicadangkan bagi pembangunan industri halal baharu ialah Tech Park.
“Ini harapan kita untuk bangunkan di kawasan Tech Park ini, dan akan di laksanakan di Tech Park 3, sebelahnya” katanya.
Dalam pada itu, kilang Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan yang dibangunkan dengan pelaburan bernilai RM250 juta kini telah siap dibina selepas tiga tahun pembinaan sejak majlis pecah tanah pada 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.



