Berita

Mahsuri Buka Kilang Baharu, Sasar 220 Pekerja Mahir Dalam Tiga Tahun

NILAI: Mahsuri Food Sdn. Bhd. melabur kira-kira RM250 juta bagi pembukaan kilang baharu syarikat itu di Bandar Enstek sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam industri makanan halal negara.

Menurut Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food Sdn. Bhd, Dato’ Mohd Roslan, pembangunan fasiliti itu mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh industri makanan halal tempatan selain menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kilang baharu ini dibangunkan di atas tanah seluas 45,000 meter persegi dengan keluasan binaan lantai 288,000 kaki persegi dan direka bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang Mahsuri,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kilang Mahsuri Food Sdn Bhd di sini.

Menurut Roslan, pemilihan Negeri Sembilan sebagai lokasi kilang dibuat berdasarkan kedudukan strategik negeri itu serta ekosistem industri yang berkembang, selain sokongan kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

“Fasiliti ini turut dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat khususnya dalam bidang operasi kilang, kawalan kualiti, teknikal, penyelidikan dan pembangunan serta sokongan pengeluaran,” tambahnya.

Beliau berkata, keistimewaan utama kilang itu ialah penggunaan teknologi moden termasuk Rotary Koji-Making Machine dalam proses pembuatan kicap.

Dalam pada itu, produk Mahsuri telah menembusi pelbagai pasaran serantau dan antarabangsa termasuk Asia Tenggara, Timur Tengah dan India.

“Dengan fasiliti baharu ini, kami berada pada kedudukan lebih kukuh untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk halal berkualiti dan diyakini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn. Bhd., Mohd Jazri Ikmal Hija berkata, kilang berkenaan turut menggunakan teknologi Rotary Koji Plating dalam proses pengeluaran kicap.

“Koji merupakan komponen penting dalam penghasilan kicap yang melalui proses penapaian bagi menghasilkan rasa umami.

“Mesin ini membolehkan proses penanaman koji dilakukan secara automatik, konsisten dan lebih cekap,” katanya.

Tambahnya, tenaga kerja syarikat ketika ini berjumlah kira-kira 80 orang dan dijangka meningkat kepada 220 pekerja dalam tempoh tiga tahun seiring pertumbuhan permintaan pasaran.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan pernah menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu pada 2023 dan kini menyaksikan ia berjaya direalisasikan.

“Hari ini, kita menyaksikan bagaimana sebuah perancangan telah berjaya dilaksanakan. Inilah yang Kerajaan Negeri mahu lihat iaitu pelaburan yang bergerak pantas, memberi impak nyata dan membawa manfaat terus kepada rakyat,” katanya.

Aminuddin turut melihat setiap pelaburan yang masuk ke Negeri Sembilan menjadi pemangkin ekonomi menerusi penciptaan peluang pekerjaan berkualiti khususnya kepada rakyat Negeri Sembilan.

“Saya berharap hubungan baik ini akan terus diperkukuh demi pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button