Anwar kecam tindakan rejim zionis tahan aktivis flotila Gaza termasuk 16 rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang didakwa memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis termasuk 16 rakyat Malaysia yang menyertai misi aman berkenaan.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah menunjukkan sikap rakus rejim Zionis dalam menutup ruang bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
“Tindakan Israel itu turut memperlihatkan usaha berterusan rejim berkenaan untuk menyekat suara kemanusiaan serta menindas mana-mana pihak yang bangkit mempertahankan hak rakyat Palestin.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan.
“Dunia tidak boleh terus berdiam diri atau tunduk kepada kezaliman yang berlaku terhadap rakyat Palestin dan individu yang tampil menghulurkan bantuan kemanusiaan.
“Penindasan terhadap rakyat Palestin serta usaha menghalang bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera, manakala Israel perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan yang dilakukan,” kata Anwar.
Isu konflik di Gaza terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa susulan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, dengan pelbagai pertubuhan dan aktivis dari seluruh dunia tampil menggerakkan bantuan bagi membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis Israel.



