Ibu Bukan Sekadar Pendidik Keluarga, Turut Tonggak Ekonomi Negara – Noor Zunita
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Cabaran yang dihadapi golongan ibu pada masa kini semakin kompleks apabila mereka bukan sahaja perlu mengurus keluarga, malah turut memainkan peranan penting dalam sektor pekerjaan dan ekonomi negara.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang mencecah 56 peratus menunjukkan ramai ibu kini memikul tanggungjawab berganda sehingga berdepan risiko tekanan emosi dan mental.
Tema Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 iaitu ‘Seteguh KASIH Ibu’ amat bertepatan kerana menggambarkan realiti pengorbanan luar biasa seorang ibu sebagai pendidik utama keluarga serta penyumbang kepada kestabilan masyarakat.
“Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa komited memperkukuh kebajikan mereka melalui pelbagai inisiatif khusus seperti Bantuan Wang Tunai one-off RM200 menerusi Inisiatif Bantuan Care For You (C4U) Ibu Tunggal serta platform pembangunan kepimpinan dan ekonomi melalui Wanita MADANI Inspirasi Negeri Sembilan (WADANI),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, aspek kesejahteraan institusi kekeluargaan turut diperkasakan seawal kelahiran anak menerusi bantuan bayi baru lahir serta sokongan berterusan daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
“Antara inisiatif diperkenalkan termasuk perkhidmatan kaunseling, program Keluarga@Kerja dan Pakej Seteguh KASIH Ibu (PSKI) yang merangkumi Pakej Minda Tenang, Pakej Bonding KASIH Ibu dan Pakej Sayang Ibu.
“Pendekatan lebih holistik turut diterapkan menerusi forum khas dan slot santai ‘Ibu dan A’ yang dianjurkan sempena sambutan berkenaan bagi membantu para ibu mendepani cabaran era digital dan kecerdasan buatan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan khas kepada Prof. Ts. Dr. Norita Md. Norwawi yang disifatkan sebagai simbol ketabahan wanita dan ibu berkerjaya.
Anak kelahiran Kuala Pilah itu berjaya membesarkan lima anak meskipun diuji dengan kehilangan anak sulung akibat talasemia selain cemerlang sebagai pakar AI di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada pengorbanan besar Dr. Norita yang menjadi inspirasi kepada saya dan wanita lain,” ujarnya.



