Anwar tegas komitmen pelaksanaan Pelan Damai Gaza semasa mesyuarat dengan Trump

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, telah mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat sempena Persidangan ASEAN 2025.
Anwar berkata, pertemuan ini memperkukuh hubungan diplomatik yang telah terjalin sejak tahun 1957, sambil membuka ruang baharu bagi memperdalam kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan, pertahanan serta teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Amerika Syarikat dalam memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Comprehensive Strategic Partnership, serta dalam menjayakan pelbagai inisiatif serantau termasuk usaha memperkukuh keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
“Saya juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Pelan Damai Gaza, termasuk memastikan laluan bantuan kemanusiaan tidak dihalang dan proses pembinaan semula wilayah berkenaan dapat dilaksanakan segera demi keadilan dan maruah rakyat Palestin.
“Malaysia akan terus memimpin dengan prinsip, bekerjasama atas dasar saling hormat, memperkukuh perdagangan bebas dan menjunjung keamanan sejagat, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
“Dalam kesempatan ini, kami turut menandatangani Framework Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan Memorandum of Understanding on Critical Minerals, sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan rantaian bekalan serta manfaat bersama antara kedua-dua negara.
“Saya mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat terus diperkukuh demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Trump atas kesudian berkunjung ke Malaysia dan atas komitmen beliau dalam mempererat persahabatan antara kedua-dua negara,” kata Anwar.



