SEREMBAN: Atlet Negeri Sembilan yang memungut pingat pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Tahun 2024 di Sarawak baru-baru ini, menerima insentif kewangan berjumlah RM485,000 daripada Kerajaan Negeri Sembilan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Kontinjen Negeri Sembilan yang telah mengutip 19 emas, 13 perak dan 24 gangsa.
Pencapaian ini menyamai dengan pungutan pingat emas semasa Temasya SUKMA Ke-20 yang telah diadakan Kuala Lumpur pada tahun 2022 yang lalu.
“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atlet menembak kita, iaitu Saudari Gan Chen Jie yang telah dinobatkan sebagai Olahragawati SUKMA ke-21.
“Satu pencapaian yang amat membanggakan dengan pencapaian tujuh pingat emas dan memecahkan empat rekod SUKMA bagi sukan menembak dengan pencapaian 12 pingat emas, empat perak dan tiga gangsa adalah pencapaian luar biasa sesuatu sukan di sepanjang penyertaan Kontinjen Negeri Sembilan di SUKMA Sarawak.
“Beberapa atlet turut berjaya memecahkan rekod SUKMA iaitu Saudari Aina Zahara Baharum, Saudari Tan Ye Xuan dan Saudara Mustaqim Hanif dari sukan Menembak manakala Saudari Yee Zhi Xin dari sukan Olahraga,” ujar Aminuddin.
Aminuddin juga menyampaikan insentif kepada Chen Tang Jie dari sukan Badminton yang telah mewakili negara di Sukan Olimpik Paris yang telah berlangsung pada 26 Julai hingga 2 Ogos 2024 yang lalu.
“Walaupun Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Sukan Negara Malaysia ada memberi insentif kepada atlet yang mewakili negara, kami di peringkat negeri sememangnya turut menghargai dan turut memberikan insentif kepada atlet,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kejayaan SUKMA di Sarawak adalah hasil daripada kerja keras yang ditanam sejak awal lagi melalui penglibatan Bapa Angkat Sukan yang terdiri dari EXCO, ADUN dan Ahli Parlimen setiap sukan yang diwakili telah menyuntik semangat baru yang begitu kuat kepada atlet yang bertanding.
“Penglibatan Bapa Angkat Sukan ini merupakan kali pertama dalam penglibatan kepada atlet sepanjang temasya Sukan Malaysia diadakan.
“Saya juga berharap agar YB Angkat ini akan terus menyumbang dan memberi semangat serta meneruskan tugas dan tanggungjawab sehingga SUKMA ke-22 yang akan berlangsung pada 2026 di Negeri Selangor.
“Bagi menghadapi SUKMA ke-22 yang akan datang di Selangor pada tahun 2026, saya menyeru kepada semua kontinjen kita supaya mula bersiapsedia dengan semangat dan iltiziam yang tinggi, perancangan, perencanaan, strategi dan taktikal yang perlu dirunding dan dibincangkan secara menyeluruh melibatkan keseluruhan atlet-atlet dan jurulatih,” Aminuddin lagi.