SEREMBAN: Pemimpin persatuan sukan di Negeri Sembilan yang gagal melonjakkan prestasi yang baik, dinasihatkan melakukan perubahan atau memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, selepas ini jika ada persatuan tiada kesungguhan untuk meningkatkan prestasi pasukan, akan diambil alih oleh Majlis Sukan Negeri.
“Kita tak boleh tunggu lagi. Saya tidak mahu anak-anak saya, anak-anak Negeri Sembilan hilang arah.
“Anak-anak Negeri Sembilan tidak tahu di mana nak mencari tempat dia nak berlatih supaya dia boleh hebat (tingkat prestasi).
“Kalau kita setakat nak jaga, duduk (kedudukan) dalam persatuan, lepaskan jawatan tersebut,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Tahun 2024 Sarawak yang diadakan di Klana Resort, Seremban.
Bapa Angkat harus proaktif
Aminuddin berkata, beliau telah berbincang dengan Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor di dalam Mesyuarat Exco, bahawa bermula awal tahun 2025, Kerajaan Negeri mahu melihat apa perancangan persatuan sukan.
“Mana-mana persatuan yang tidak bersedia (tiada pelan perancangan masa depan), selamat maju jaya untuk meninggalkan persatuan tersebut.
“Orang lain ramai (individu yang kompeten untuk memimpin persatuan).
“Kita dah sediakan Bapa-Bapa Angkat Persatuan Sukan dan Bapa-Bapa Angkat harus berperanan (proaktif) selepas ini,” ujar beliau.
Nak tahu bagaimana duit dibelanjakan
Aminuddin juga mengingatkan pemimpin persatuan sukan agar tidak berasa selesa dengan kedudukan dalam persatuan sukan.
“Jangan rasa selamat duduk dalam persatuan.
“Kita akan audit persatuan sukan kerana mereka terima duit (dana) dari Kerajaan Negeri.
“Kita nak (tahu) di mana duit itu dibelanjakan, kita nak tahu apa perkembangan dia.
“Kalau itu pun kalau tak boleh nak bagi, saya minta supaya Majlis Sukan Negeri mengambil tindakan,” tegas Aminuddin.
Kecewa tidak lagi menjadi pencabar utama
Aminuddin dalam ucapan beliau turut melahirkan kekecewaan beliau apabila ada sukan yang Negeri Sembilan sudah tidak mampu lagi menjadi pencabar utama.
“Kalau dulu kita megah dengan acara olahraga jarak jauh. Saya ingat lagi.
“Kita lihat bagaimana dulu Negeri Sembilan dominasi acara olahraga jarak jauh.
“Tetapi hari ini atlet Negeri Sembilan tidak tergolong dalam golongan pencabar dalam acara-acara ini,” jelas Aminuddin lagi.
Teguran itu dibuat, susulan pencapaian Kontinjen Negeri Sembilan pada SUKMA Sarawak 2024, baru-baru ini, tidak mencapai sasaran kutipan pingat emas yang ditetapkan dan ada sukan yang Negeri Sembilan tidak menghantar atlet.
Negeri Sembilan membawa pulang 19 emas berbanding 20 yang disasarkan menerusi pembabitan 520 orang pegawai dan atlet dalam 30 jenis sukan yang disertai.