BUDI95 manfaat kepada 16 juta rakyat Malaysia

PUTRAJAYA: Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bermula 30 September ini melalui pelaksanaan sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, semua warganegara yang memiliki MyKad serta lesen memandu aktif akan menerima manfaat tersebut secara automatik tanpa perlu sebarang pendaftaran.
“Kerajaan MADANI komited melaksanakan penyasaran subsidi RON95 untuk mengurangkan beban rakyat. Inilah keistimewaan yang hanya diberikan kepada warganegara Malaysia.
“Harga pasaran petrol RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.60 seliter, namun dengan pelaksanaan BUDI95 rakyat hanya perlu membayar RM1.99 seliter.
“Penjimatan hasil peralihan subsidi ini akan diagihkan semula untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta pembangunan prasarana asas.
“Dalam pada itu, kerajaan turut menetapkan siling kelayakan bulanan sehingga 300 liter RON95 bersubsidi untuk setiap rakyat yang layak.
“Walaupun begitu, pemandu e-hailing diberikan pengecualian khas daripada siling tersebut bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas,” kata Anwar.
Pelaksanaan BUDI95 akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran sistem tanpa gangguan mendadak.
Pada 27 September, ia akan dibuka terlebih dahulu kepada 300,000 anggota tentera dan polis, diikuti penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan B40 pada 28 September.
Seterusnya, mulai 30 September, manfaat itu diperluas kepada semua warganegara yang berkelayakan.
Kerajaan juga menekankan bahawa cip MyKad mestilah berfungsi dan lesen memandu masih sah untuk memastikan kelancaran penggunaan sistem ini.
Walau bagaimanapun, rakyat tidak perlu terburu-buru memperbaharui MyKad sekiranya telah berjaya menggunakan dokumen tersebut bagi urusan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa terminal pembaca MyKad akan disediakan di kedai stesen minyak serta terminal pam bagi mengurangkan risiko kesesakan.
Selain itu, opsyen pembayaran digital melalui e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel dan CaltexGo turut disediakan bagi memberi kemudahan kepada pengguna.
Dengan pelaksanaan ini, kerajaan yakin langkah penyasaran subsidi akan memastikan bantuan lebih tersasar kepada warganegara Malaysia, sekali gus mengekalkan kesejahteraan rakyat sambil mengurangkan kebocoran subsidi kepada pihak yang tidak layak.