Citek FC muncul johan Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

LABU: Pasukan bola sepak Citek FC muncul sebagai juara Piala YAB Menteri Besar Negeri Sembilan anjuran Persatuan Kebajikan Rasah Negeri Sembilan (PEKAN) di Sports Arena Kota Seriemas.
Citek FC berjaya menumbangkan LBEE J FC dengan jaringan gol 1-0 dan membawa pulang sebuah piala, pingat dan hadiah wang tunai RM3,500.
LBEE J FC pula memenangi hadiah wang tunai RM2,000 dan pingat.
Manakala untuk kedudukan tempat ketiga, Sangkara FC menewaskan ABK FC dengan jaringan 2-1 dalam penentuan sepakan penalti.
Sangkara FC memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan pingat; manakala ABK FC menerima hadiah wang tunai RM500 serta pingat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.
Dalam pada itu, Aminuddin menyatakan harapan beliau agar dengan penganjuran kejohanan seperti ini dapat mencungkil bakat anak muda di Negeri Sembilan dan seterusnya membimbing mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain daripada program sukan, saya berharap penyertaan anak-anak muda DUN Labu dalam program-program lain yang boleh berikan manfaat.
“Saya berharap kepada anak-anak muda dapat memberikan sokongan kepada Pusat Khidmat Rakyat DUN Labu dalam apa jua perkara.
“Bukan setakat membuat aduan dan permohonan, tetapi kita nak supaya Pusat Khidmat Rakyat DUN Labu dapat kita gunakan sebagai satu pusat untuk membangunkan golongan anak-anak muda khususnya dalam memastikan program-program yang berterusan,” ujar beliau.
Aminuddin tambah, selaku Menteri Besar, beliau yakin dan akan membantu bagi memastikan perjalanan program-program di DUN Labu ini dapat dilaksanakan.
“Adalah penting mengadakan program untuk anak muda kerana ini lah tempat untuk mereka menyatakan hasrat mereka.
“Jadikan pusat khidmat rakyat untuk mereka menyatakan apakah keperluan mereka.
“Saya yakin bahawa ini juga dipertimbangkan bukan sahaja di peringkat Kerajaan Negeri tetapi juga oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Aminuddin.
Terlebih dahulu, Penyelaras DUN Labu, Ahmad Faez Abdul Razak dalam ucapan beliau, memohon kepada Aminuddin agar sebuah dewan tertutup dibina di DUN Labu.
“DUN Labu amatlah memerlukan sebuah dewan tertutup bukan sahaja untuk mengadakan program kemasyarakatan tetapi juga untuk aktiviti sukan seperti futsal, badminton dan sepak takraw demi permintaan dan keperluan anak-anak muda di DUN Labu.
“Kemudahan ini perlu bukan sahaja untuk aktiviti sukan semata-mata tetapi untuk mencungkil bakat baharu di kalangan anak muda DUN Labu,” kata Ahmad Faez.
Sementara itu, Aminuddin meminta Ahmad Faez membuat satu permohonan bertulis kepada beliau untuk meneliti permohonan tersebut dan tindakan sewajarnya.