Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi: ZAMBRY

PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan bahawa asas Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan tidak boleh dikompromi walaupun dalam usaha memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelbagai aliran pendidikan di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan mengambil pendekatan seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam memastikan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dapat diperluaskan tanpa mengorbankan prinsip asas negara.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media susulan dakwaan Dong Zong bertarikh 15 Mei 2026 yang menyatakan kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap pelajar Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
“Sistem pendidikan negara bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, sebaliknya turut memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan serta pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.
“Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini,.
“Langkah kerajaan memberi laluan kepada calon UEC memohon ke IPTA bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina dengan syarat memperoleh kepujian Bahasa Melayu serta lulus Sejarah di peringkat SPM bukan satu bentuk diskriminasi atau kecacatan sistemik.
“Sebaliknya, ia merupakan pendekatan inklusif dan bertanggungjawab yang menghormati kerangka Dasar Pendidikan Kebangsaan,” kata Zambry.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan perlu dilaksanakan secara konsisten serta tidak boleh berubah hanya disebabkan tekanan politik atau tuntutan pihak tertentu.
“Pendidikan tidak boleh terus dilihat daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata.
“Masa depan Malaysia memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa universiti awam merupakan institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara, justeru kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.
Katanya lagi, kerajaan kekal komited memastikan pendidikan tinggi negara terus bersifat inklusif, adil dan berkualiti tanpa mengabaikan prinsip nasional yang menjadi tunjang pembinaan Malaysia sejak merdeka.



