BeritaMenarik

Demografi muda, digital dan dinamik menarik pelaburan AI

KUALA LUMPUR: Forum Ekonomi Malaysia 2025 (FEM2025) yang julung kali diadakan adalah platform penting untuk menetapkan hala tuju ekonomi negara, memastikan ketelusan, dan mencetuskan perbincangan tentang peranan Malaysia dalam landskap global yang kian berubah.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berada pada kedudukan unik untuk memimpin pada dekad ini.

“Menjelang 2030, 65 peratus daripada penduduk rantau ini akan tergolong dalam kelas pertengahan dan lebih besar daripada populasi Amerika Syarikat dan EU digabungkan, menjadikan kita kuasa besar dalam kepenggunaan dan inovasi.

“Profil demografi kita iaitu muda, digital, dan dinamik telah menarik pelaburan dalam AI, tenaga boleh diperbaharui, dan infrastruktur digital, peluang yang Malaysia bersedia memanfaatkan sepenuhnya,” ujar beliau.

Menurut Rafizi, di sebalik arus dasar perlindungan global yang semakin meningkat, Asia Tenggara terus unggul melalui perdagangan bebas dan kerjasama.

“Sebagai rantau paling aktif berdagang, pertumbuhan kita bergantung kepada kerjasama, bukan pengasingan.

“Keterbukaan ini mendorong inovasi dan menjadi kunci untuk keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan.

“Dari sudut politik pula, Asia Tenggara turut menonjol.

“Ketika dunia semakin terpolarisasi, pragmatisme kita membolehkan dasar berorientasikan pertumbuhan terus berkembang merentasi pentadbiran,” jelas Rafizi.

Rafizi menambah, gabungan kestabilan dan kepimpinan progresif memastikan Malaysia kekal fokus pada kemajuan ekonomi.

“Malaysia menghayati realiti ini.

“Sebagai negara Kecil, Terbuka, dan Tidak Berpihak [Small, Open and Non-Aligned (SONA)], kita mengamalkan pendekatan globalis menerusi pelancaran Rancangan Malaysia Ke-13 tahun ini, memastikan dasar kita mencerminkan keperluan era transformasi ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kongsi kami Maybank, CGS International Malaysia, Bursa Malaysia, dan MBSB Bank serta semua peserta yang telah hadir,” kata Rafizi.

Show More

Related Articles

Back to top button