Dua pusat data teknologi AI dan hijau akan dibina di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Dua pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) dan hijau oleh pelabur Amerika Syarikat (AS) akan dibina di Bandar Springhill, Port Dickson dan Nilai.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, urusan tanah sudah selesai dan kerja-kerja tanah telah bermula.
“Faktor pemilihan Negeri Sembilan sebagai pusat data ini adalah berikutan lokasinya yang strategik dimana kedudukan geografinya berhampiran Lembah Klang yang merupakan pusat perindustrian dan perniagaan di negara ini.
“Negeri Sembilan juga menawarkan jaringan lebuh raya yang baik serta memenuhi segala keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh sesebuah pusat data iaitu bekalan tenaga elektrik yang tinggi serta kapasiti air yang mencukupi.
“Pembangunan pusat data turut menyumbang pelbagai manfaat kepada warga tempatan dimana ianya bakal membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi terutamanya dalam bidang teknologi maklumat,” kata beliau.
Selain itu kata Aminuddin, ia turut menyumbang kepada jumlah pelaburan yang tinggi serta peningkatan kutipan cukai di negeri ini.
“Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan untuk mengkaji dengan lebih teliti sekiranya menerima sebarang cadangan projek pusat data baru kerana bimbang akan keperluan air pusat data yang sangat tinggi.
“Kajian terperinci perlu dilaksanakan demi memastikan kelestarian sumber bekalan air di Negeri Sembilan terjamin.
“Pihak Kerajaan Negeri telah berbincang dengan pihak Gamuda dan mereka telah bersetuju untuk membina satu Loji Rawatan Air baru dengan kos sepenuhnya oleh pihak Gamuda dan MBI, Kos operasi akan diserahkan kepada pihak SAINS apabila loji tersebut siap kelak,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian semasa menjawab soalan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) di Persidangan Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Ke-15.
Choo bertanya, berapa pusat data yang dimohon untuk dibangunkan di seluruh Negeri Sembilan.
Apakah faktor dan halatuju Kerajaan Negeri untuk membangunkan pusat data ini dan adakah ia membawa manfaat kepada Rakyat di Negeri Sembilan?