
Ini empat keadaan di mana anda WAJIB Berbuka Puasa serta-merta demi menyelamatkan nyawa
“Mak, muka dah pucat lesi, tangan menggigil ni. Jom minum air gula, berbuka ya?”
“Tak nak lah, lagi setengah jam je nak azan Maghrib. Sayang puasa mak..”
Dialog di atas sering berakhir dengan tragedi koma atau strok.
Tolong dengar baik-baik: Dalam Islam, menjaga nyawa adalah jauh lebih utama daripada meneruskan puasa yang boleh diganti kemudian.
Jika anda atau ibu bapa mengalami empat tanda amaran (Red Flags) ini, hukum meneruskan puasa adalah HARAM kerana ia membinasakan diri sendiri:
1. HIPOGLISEMIA (GULA TERLALU RENDAH)
Tanda: Tangan menggigil, peluh sejuk membasahi dahi, jantung berdebar laju, dan pandangan kabur.
Fakta: Jika bacaan gula darah anda jatuh bawah 3.9 mmol/L, otak anda sedang kebuluran glukosa.
Jika diteruskan, anda boleh sawan dan koma dalam masa beberapa minit. WAJIB berbuka dengan air manis segera.
2. DEHIDRASI MELAMPAU (KEKERINGAN AIR)
Tanda: Pening kepala berpusing bila berdiri, lidah kering merekah, kekeliruan (merapu), dan air kencing sangat sedikit atau berwarna perang gelap.
Fakta: Kehilangan air yang kritikal akan memekatkan darah, meningkatkan risiko darah beku (strok), dan kegagalan buah pinggang akut.
3. HIPERGLISEMIA (GULA TERLALU TINGGI)
Tanda: Haus yang melampau (tak hilang walaupun berkumur), kerap kencing, nafas berbau buah (aseton), dan rasa letih yang amat sangat.
Fakta: Jika bacaan gula melebihi 16.6 mmol/L, darah anda sedang menjadi asid (DKA – Diabetic Ketoacidosis).
Ini adalah kecemasan perubatan yang boleh membawa maut.
4. PENYAKIT AKUT MENDADAK
Tanda: Muntah-muntah berterusan, cirit-birit yang teruk, atau demam panas menggigil secara tiba-tiba.
Fakta: Keadaan ini menyebabkan badan kehilangan elektrolit dengan pantas. Meneruskan puasa akan menyebabkan sistem badan ‘shut down’.
Ingat, Allah SWT memberikan rukhsah (kelonggaran) kerana kasih sayang-Nya. Jangan kita menzalimi tubuh badan sendiri.
Kongsikan senarai ‘Red Flag’ ini kepada ibu bapa di kampung.
Apa pun, didoakan semua Muslimin Muslimat dapat berpuasa dengan keadaan yang baik selama sebulan. Selamat berpuasa. (Public Health Malaysia).




