Berita

Festival Rentak Negeri 2026 berlangsung di Pantai Batu 1 pada 26 hingga 28 Jun nanti

SEREMBAN : Festival Rentak Negeri 2026: Pelancongan Budaya ‘Lantai Adat, Laman Budaya’ akan berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Jun ini di Pantai Batu 1, Port Dickson, sebagai antara inisiatif memperkukuh pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan di Negeri Sembilan.

Penganjuran festival oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) serta HAVOC Food Festival itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan menyemarakkan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan kepada pengunjung termasuk pameran kebudayaan, persembahan kesenian dan jualan makanan yang mengetengahkan keunikan warisan serta identiti tempatan.

Festival yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11.30 malam itu dijangka menjadi platform menghimpunkan masyarakat dan pelancong dalam suasana penuh kemeriahan, selain memperkenalkan kekayaan seni budaya sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival berkenaan dengan semangat “Moh Dogheh Ghamai-Ghamai!” sebagai simbol kebersamaan dalam memelihara dan menghargai seni budaya warisan bangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button