800 kotak roti diedar kepada 40 sekolah di Parlimen Rasah

RASAH: Sebanyak 800 kotak roti jenama Ooobun diagihkan kepada lebih 40 buah sekolah di sekitar Parlimen Rasah menerusi satu program sumbangan komuniti yang berlangsung di dataran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kelpin.
Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, program itu merupakan hasil kerjasama antara syarikat Neutrovis dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Rasah bagi membantu komuniti sekolah di kawasan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya telah dihubungi oleh syarikat Neutrovis yang menyatakan hasrat untuk menyumbangkan roti Ooobun kepada masyarakat di Rasah dengan keutamaan diberikan kepada warga sekolah.
“Dalam masa 24 jam sahaja, perkara ini melalui fasa perancangan, penyelarasan dan penyerahan kepada sekolah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata, usaha tersebut turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk kakitangan Pusat Khidmat Rakyat beliau serta sukarelawan yang bertungkus-lumus memastikan proses pengagihan berjalan lancar.
“Kakitangan Pusat Khidmat Rakyat saya bersama dengan rakan-rakan seperti Puan Nur Fairudzaini dan Cik Lim Pei Sim telah mengusahakan yang terbaik.
“Setiap kotak roti yang diagihkan mengandungi 96 bungkus roti dan diserahkan kepada wakil sekolah untuk diagihkan kepada pelajar serta warga sekolah masing-masing,” ujar Cha.
Cha turut merakamkan penghargaan kepada syarikat Neutrovis atas keprihatinan mereka dalam membantu komuniti pendidikan di kawasan Parlimen Rasah.




