PENDEKATAN BERSEPADU KESIHATAN PARU-PARU: Bukan sekadar merawat tapi perkasa pencegahan

GENEVA: Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dzulkefly Ahmad telah menyampaikan ucaptama dalam satu sesi perbincangan peringkat tertinggi berhubung pelan tindakan bersepadu kesihatan paru-paru di ibu pejabat WHO, Geneva.
Beliau berkata, resolusi Kesihatan Paru-Paru yang diluluskan tahun lalu adalah satu komitmen global yang amat penting, namun kejayaan sebenarnya dinilai melalui sejauh mana ia dapat dilaksanakan secara berkesan di peringkat negara.
“KKM menyedari bahawa pendekatan rawatan yang berasingan (fragmented) tidak lagi relevan kerana ia hanya melambatkan proses pengesanan awal dan menjejaskan kelancaran rawatan pesakit.
“Di Malaysia, kita telah beralih kepada model kesihatan paru-paru bersepadu yang berpusat di fasiliti penjagaan primer. Kita bukan sekadar merawat, tetapi memperkasakan aspek pencegahan.
“Sebagai langkah ke hadapan, KKM kini memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk imbasan X-ray dada,” jelas Dzulkefly.
Menurut beliau lagi, inovasi digital ini sangat membantu untuk mempercepatkan proses saringan dan keputusan klinikal, terutamanya bagi melindungi golongan berisiko tinggi dan komuniti yang kekurangan akses kepada pakar.
“Namun begitu, pengesanan awal hanya akan membawa makna jika pesakit mendapat rawatan yang segera.
“Melalui pelaksanaan On-Time Access Program, kita sedang berusaha untuk memastikan akses yang adil kepada ubat-ubatan penting, bermula dengan kanser paru-paru, demi meringankan beban kewangan yang ditanggung pesakit.
“Pencapaian ini tidak mungkin terhasil tanpa sokongan padu sembilan rakan strategik KKM dan kerjasama merentas sektor, termasuklah usaha berterusan kita dalam pengawalan tembakau dan kualiti udara bersih.
“Sama ada di peringkat nasional mahupun global, usaha menjaga kesihatan paru-paru memerlukan kerjasama semua pihak,” kata Dzulkefly.
Dzulkefly berkata, Malaysia komited untuk terus berkongsi amalan terbaik dan belajar bersama negara-negara anggota yang lain.
“Matlamat kita hanya satu: Pengesanan yang lebih awal, pencegahan yang lebih baik, dan akses rawatan yang lebih saksama untuk segenap lapisan masyarakat,” ujarnya.




