Berita

Forum Demokrasi Athens 2025: Visi baharu untuk realiti sukar

ATHENS: Hari kedua Forum Demokrasi Athens 2025 yang berlangsung di Athens Conservatoire membawa tumpuan kepada tema ‘Visi baharu untuk realiti sukar’, memperlihatkan bagaimana dunia sedang mencari jalan keluar daripada cabaran demokrasi global masa kini.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, antara perbincangan utama yang menarik perhatian termasuklah peranan diplomasi dalam masa konflik yang menekankan pentingnya kerjasama multilateral dan diplomasi pintar untuk meredakan konflik seperti di Ukraine dan Timur Tengah.

“Gerakan perlembagaan yang diterajui belia dan generasi muda semakin berani memperjuangkan reformasi, dari hak iklim hingga keterlibatan digital, membuktikan ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Bengkel Kaukus Ahli Parlimen pula membincangkan strategi rentas parti untuk integrasi AI yang beretika, membanteras rasuah, dan memperkukuh dasar inklusif.

“Dalam pada itu, sesi menilai semula populisme mengupas bagaimana keresahan rakyat perlu disalurkan kepada pembaharuan, bukan perpecahan.

“Forum Nostalgia Populis: Hati dan Minda Muda pula ‘menggali’ bagaimana sentimen nostalgia boleh menarik belia, namun perlunya pendidikan sivik yang beretika agar mereka tidak terperangkap dalam gema maklumat,” jelas Tengku Zamrah.

Turut serta dalam forum ini ialah Exco Kanan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias; Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Dato’ Mohd Faizal Ramli; Ketua Backbenchers Kerajaan Perpaduan (BN) yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Saiful Yazan Sulaiman, ADUN Lobak, Chew Seh Yong dan ADUN Sri Tanjung, Dr. G.Rajasekaran.

Show More

Related Articles

Back to top button