Gunasekaran turun padang dengar aduan dan santuni penduduk Seremban Jaya

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran, terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat apabila mengadakan dua lawatan berasingan bagi meninjau aduan penduduk dan menyantuni keluarga memerlukan di sekitar kawasannya semalam.
Gunasekaren berkata, beliau mengadakan lawatan mesra ke kediaman Puan Krisnaveeni di Taman Nur Indah, Rasah Jaya pada sebelah pagi.
“Lawatan itu bertujuan menzahirkan keprihatinan terhadap keluarga berkenaan yang kini menjaga ahli keluarga uzur.
“Saya turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung keluarga berkenaan,” kata Gunasekaren.
Beliau menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, terutama bagi mereka yang memerlukan sokongan ketika berdepan kesusahan.

“Selepas itu, pada tengah hari di Taman Sri Mawar, saya bersama Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Puan Jamilah, turun padang melawat tapak aduan penduduk berhubung tebing longkang yang pecah dan runtuh serta halangan jalan di belakang Jalan 12 kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di tapak mendapati isu tersebut telah dirujuk kepada pihak MBS untuk tindakan lanjut, bagi memastikan keselamatan serta keselesaan penduduk sentiasa terjamin.
“Lawatan berterusan seperti ini membuktikan keprihatinan saya dalam memastikan setiap aduan penduduk ditangani dengan segera dan kebajikan masyarakat di kawasan Seremban Jaya terus diberi perhatian,” ujar beliau.
 
				

