YB Kita

Gunasekaren cadang MBS tingkatkan aspek keselamatan di Jalan Seremban Jaya

SEREMBAN JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P.Gunasekaren telah menghadiri Mesyuarat Majlis Penuh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang berlangsung di Wisma MBS.

Gunasekaren merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kejuruteraan MBS di atas pelaksanaan kerja-kerja penurapan semula (premix), garisan kuning merah serta pemasangan paku jalan di laluan utama keluar masuk Jalan SJ 3/11, Taman Seremban Jaya.

“Namun begitu, kawasan ini masih sering berlaku kemalangan.

“Saya memohon agar garisan kuning merah dapat ditebalkan semula dan paku jalan dipasang dengan lebih rapat bagi memperlahankan kelajuan kenderaan.

“Walaupun faktor sikap pengguna jalan turut menyumbang, usaha pencegahan fizikal masih penting demi keselamatan Bersama,” kata Gunasekaren.

Gunasekaren turut mencadangkan agar Pusat CLQ (pusat penempatan pekerja asing) memastikan penginapan yang disediakan adalah sesuai dan selesa, serta pengurusan oleh majikan dilakukan secara teratur.

“Saya juga meminta MBS memberi perhatian khas kepada warga tempatan yang berniaga di kawasan tersebut, agar mereka turut diberi peluang yang adil dan saksama, khususnya kepada golongan yang memerlukan,” ujar Gunasekaren.

Turut berlangsung dalam mesyuarat ini ialah sesi penyampaian cenderahati kepada Datuk Bandar MBS, Dato’ Masri Razali merangkap Pegawai Kewangan Negeri Sembilan oleh Ahli-Ahli MBS daripada parti DAP sebagai tanda penghargaan di atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan.

Gunasekaren juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli MBS, Jamilah Said Ali yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu menyuarakan isu-isu rakyat.

“Keselamatan dan kebajikan rakyat adalah tanggungjawab bersama.

“Semoga segala cadangan ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib,” ulas Gunasekaren lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button